Monday, August 31, 2009

Kereta


Assalamualaikum w.b.t

Ke hadapan rakan-rakan yang saya hormati sekalian. Bersyukur kepada tuhan sekalian alam, di kesempatan ini kita masih diberi peluang untuk hidup. Pertama-tamanya saya memohon maaf sekiranya tidak dapat menghantar anda semua fly dan sebagai ganti diri, entry ini khas buat kalian semua.

Kereta yang kita pandu hampir 20 tahun telah melalui jalan-jalan yang berbeza. Ada kereta yang masih baik, masih sedap dibawa dan tidak lupa ada juga yang perlu di hantar ke bengkel. Jalan pula sudah tentu tidak sama bagi setiap individu. Ada jalan yang sukar, berlubang, jalan yang sempit dan ada juga jalan highway yang lurus dan lebar.

Selepas melalui jalan ini, kita akan membawa kereta kita juga ke destinasi yang berbeza. Australia, New Zealand, India, UK, Republik Czech, Ireland, US dan sebagainya. Destinasi yang agak jauh dari kilang kereta kita dihasilkan. Namun dikesempatan ini, apa yang saya mahu perkatakan ialah siapa yang ingin kita bawa dalam kereta kita?

Dalam kembara 20 tahun ini, mungkin kita telah mengambil beberapa penumpang. sama ada kita sedar ataupun tidak. Sang Harta. Sang Teman Hidup. Sang Pangkat. Sang Dunia. Jadi, adakah kita telah membawa Sang Islam? kerana di akhir perjalanan kereta kita nanti, Polis Izrail akan menahan kereta kita.

Bolehkah penumpang kita menyelamatkan kita? Tidak! hanya Sang Islam yang bakal membantu. Di tol terakhir, hanya ada dua laluan. Parking di neraka atau pun parking di syurga. Tiada u-turn. Ada diceritakan dalam manual penggunaan kereta, ada kereta nak u-turn , tapi engineer kereta tidak memberi peluang lagi.

Kawan-kawan sekalian,

Bagaimana kalau kereta kita sudah penuh? tukarkanlah penumpang-penumpang kepada Islam. Dengan harta, kita boleh bersedekah. Dengan ilmu kita boleh berbakti. Dengan dunia kita boleh niatkan untuk akhirat. Boleh juga upgrade kereta kita kalau kita mampu. Belilah MPV atau bas. Bawalah Islam sebanyak-banyaknya sebagai penumpang.

Janganlah kereta kita cuba menjauhi dari penumpang Islam ini. Saya begitu risau terhadap diri saya sendiri dan kawan-kawan semua apabila ada mendengar khabar, ada kereta mengunci dari dalam apabila sang islam ini mahu masuk ke dalam kereta mereka. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Akhir kata ingin saya nyanyikan lagu kereta yang cukup popular pada masa saya kecil-kecil dahulu...

"ayah ku pulang dari kota,
ayah ku belikan kereta,
kereta kecil warna merah,
boleh ku bawa ke sekolah.

pon pon pon pon pon pon pon
kereta kecil ku berbunyi
marilah adik mari naik,
boleh ku bawa jumpa nenek"


Tuesday, August 25, 2009

Tunang


Perkenalan dengan dirimu hanyalah bermula selepas SPM. Biasalah umur-umur 17 dan 18 tahun, keinginan untuk berteman, untuk berkasih membara di hati. Setelah hampir 2 tahun mengenali dirimu. Kini tiba kepada peringkat seterusnya. Pertunangan.

Di kolej pun aku selalu berjumpa denganmu. Terutamanya pada hujung minggu. Waktu rakan-rakan sibuk berehat, aku sanggup menemui mu di kelas, rumah sewa dan surau. Tapi maaf pernah juga aku tertidur ketika temu janji kita. Moga dirimu tidak terasa hati.

Agak berat untuk melangsungkan majlis ini di bulan Ramadhan. Apatah lagi dengan urusan pelajaranku yang belum selesai. Tetapi perasaan cinta di dalam hati tak dapat dibendung lagi. Setiap hari asyik memikirkan dirimu. Terbayang wajahmu.

Tunangku, ingin sahaja aku terus menikahi mu dan menjadikan kau isteriku. Tetapi masa yang singkat kita berkenalan ini kurasakan tidak cukup. Kita perlu lebih kerap berjumpa agar kita akan lebih serasi kelak.

Aku pun belum bersedia untuk menjadi sang suami yang baik padamu. Terlalu banyak kelemahan pada diri ini. Bangun lambat, tidak pandai masak, kerja pun belum. Apatah lagi dalam bab agama. Kalau solat berjemaah nanti bila sudah berkahwin, surah Ad Duha dan Al Insyirah yang aku akan ulang-ulang. Sudah tentu dirimu akan jemu. Itu sahaja yang aku hafal.

Tunangku, aku juga pernah menduakan dirimu sebelum ini. Aku hanyalah lelaki biasa yang tergoda dengan pujukan rayu yang sering menerpa. Tetapi percayalah, aku akan berusaha menumpukan sepenuh tenaga, masa dan wang untuk dirimu sahaja kerana i love u so much.

InsyaAllah akan ku bawa dirimu untuk ke tempat belajar aku nanti. Janganlah engkau risau. Hal-hal penginapan dan sebagainya sudah diatur. Bagilah diri ini peluang untuk belajar menjadi suami.

Berilah masa setahun dua untuk aku bersedia menerima mu wahai tunangku dakwah.