Kecik-kecik dah...

Program “From Zero To Hero” Bina Jati Diri Ahli NAZIM
Seremban, 4 April – Sebagai salah satu usaha untuk membina generasi harapan yang memiliki keperibadian dan jati diri yang mantap bermula daripada usia muda, Kelab Nadi Asybal wa Zahrawat ISMA (NAZIM) Cawangan Seremban telah menganjurkan program motivasi “From Zero to Hero”. Program yang berlangsung di Dewan D’Ark, Senawang ini berjaya mengumpulkan kira-kira 50 orang ahli dan rakan NAZIM dari sekitar Negeri Sembilan.



Penyampaian kreatif oleh penceramah dan fasilitator yang telah dijemput khas ternyata berhasil menarik perhatian peserta-peserta, ditambah lagi dengan kepelbagaian aktiviti yang diselitkan. Selain menerapkan nilai-nilai murni ke dalam diri para peserta, mereka juga dididik supaya sentiasa mengasihi dan mengenang jasa ibu bapa. Keberkesanan program ini dapat dilihat menerusi linangan air mata keinsafan mereka yang tumpah dalam satu slot yang dilaksanakan.



Di penghujung program, semua peserta dikehendaki mencatat azam masing-masing yang perlu dipenuhi apabila balik ke rumah mereka kelak. Program motivasi “From Zero to Hero” ini kemudiannya diakhiri dengan penyerahan cenderamata kepada pihak penceramah oleh Sdr. Zaim bin Shaari, penasihat Kelab Remaja ISMA (KRIM) Pusat. Semoga program kali ini berupaya mencapai matlamat NAZIM untuk melahirkan generasi pelapis yang mampu mendokong dakwah Islam di Malaysia.

Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan

Comments